Sinopsis dari Kaki Novel:
Penceraiannya dengan Yusrizal membawanya ke kota London. Lima tahun kemudian dia pulang semula ke tanah air untuk menabur bakti sebagai pensyarah di UUM. Pertemuan secara tak sengaja dengan bekas adik iparnya membuatkan hubungan dengan mertuanya kembali bertaut. Yusrizal yang tak ingin dilihatnya muncul kembali di hadapan matanya. Luka yang tak pernah sembuh semakin parah.
Demi menyelamatkan nyawa ibu tersayang, dia kembali semula kepada Yusrizal. Yusrizal yang telah berubah daripada seorang lelaki yang pemabuk, panas baran dan kaki perempuan kepada lelaki yang penyayang, gemar tersenyum dan sering mengusik telah membuatkannya keliru. Benarkah ini Yusrizal yang sama yang pernah dinikahinya lima tahun yang lalu?
Tatkala dia menerima Yusrizal semula, Daniel (kekasih lamanya) menagih cintanya. Dia yang mengetahui Daniel telah bertunang dengan Masyitah tidak sanggup melukakan hati seorang perempuan kerana dia pernah merasai betapa peritnya hati dilukai oleh seorang perempuan lain.
Namun kemunculan semula Anne, perempuan yang menjadi punca keretakan rumah tangganya dahulu benar-benar menguji keutuhan diri.
Dia berada di dalam dilema. Haruskah dia membiarkan sahaja apa yang ada di hadapan mata atau berundur diri tanpa mengambil kira kemahuan hatinya.
Antara Benci dan Rindu ada jawapannya.
Komen dari House of Novel:
Buku ni aku beli atas dua sebab. Yang pertama kerana blurbnya dan yang kedua kerana penulisnya adalah pelajar UUM. Mungkin aku sedikit teruja bila tahu ada pelajar UUM yang mampu menulis novel dan menjadi seorang novelis walau hakikat di UUM tak menawarkan kursus penulisan kreatif.
Dari segi penulisan, aku tabik pada penulis ini kerana mampu menerbitkan sebuah novel yang mungkin aku sendiri tak tahu mungkin. Tapi secara jujurnya, novel ini padaku adalah kategori susah nak habis baca.
Aku adalah jenis yang susah nak berhenti bila membaca. Tapi untuk novel ini, aku rasa kurang realistik. Daripada apa yang aku dengar, Ida Farisya mula menulis di Penulisan2U. Jadi barangkali juga kerana ini novel yang pertama justeru terdapat sedikit kelemahan dalam penulisan beliau.
Beberapa part di dalam novel ini aku rasakan tidak realistik selain sedikit gedik. Aku rasa tak perlulah watak utama dalam novel ini mengahwini Yusrizal semata-mata kerana mahu menyelamatkan ibunya yang dimasukkan ke hospital dek kerana memerlukan wang yang banyak untuk pembedahan. Hakikatnya, di hospital swasta setahu aku ada menyediakan beberapa plan pembayaran untuk pesakit yang kurang berkemampuan. Aku bercakap atas pengalaman di mana ayah aku dulu pernah dimasukkan ke hospital Lam Wah Ee, Penang. Ada pelan pembayaran yang diberikan kepada pesakit yang kurang berkemampuan.
Hakikatnya,bukan semua orang boleh menulis. Menulis e-novel dan menulis novel adalah dua perkara yang berbeza. Apa pun buat Ida Farisya, jadikan kritikan ini sebagai panduan di masa depan. Banyakkan research untuk penulisan anda. Bukan setakat studi sahaja perlukan kajian, penulisan juga begitu.
0 comments:
Post a Comment